Mahu tunai haji secara haram, akhirnya meninggal dunia di gurun
Ditemukan meninggal dunia di kawasan gurun. Itu nasib menimpa seorang warga Indonesia yang mahu menunaikan haji dengan memasuki Mekah tanpa visa haji rasmi.
Lapor Detik, pada mulanya, tiga rakyat negara itu ditemukan oleh dron milik pasukan keselamatan Arab Saudi di kawasan gurun wilayah Jumum, Mekah.
Walau bagaimanapun, salah seorang daripada mereka sudah meninggal dunia pada 27 Mei lalu akibat dehidrasi.
Untuk rekod, suhu maksimum di wilayah Mekah, termasuk kawasan gurun pasir di Jumum, mencapai sekitar 40°C sekaligus menggambarkan keadaan cuaca yang sangat panas dan kering.
Menurut Konsul Jeneral Indonesia di Jeddah, Yusron B Ambary, seorang rakyat negaranya dikenali sebagai SM, ditemukan meninggal dunia manakala dua lagi masih hidup.
“Sebelum itu, SM bersama 10 warga Indonesia lain ditangkap oleh pasukan keselamatan Arab Saudi dan diusir ke Jeddah,” jelasnya.
Dipaksa turun
Tambahnya, SM yang tiba di Arab Saudi menggunakan visa ziarah disyaki memasuki Mekah bersama dua rakyat Indonesia dikenali sebagai J dan S menggunakan teksi haram melalui kawasan gurun pasir.
Beliau berkata, dalam usaha hendak memasuki Mekah secara haram, ketiga-tiga mereka dipaksa turun di tengah gurun oleh pemandu teksi kerana takut ditangkap anggota keselamatan Arab Saudi.
Sementara itu, katanya, J dan S dibawa anggota keselamatan ke hospital dan diusir ke Jeddah setelah dirawat.
BACA JUGA ‘Kalau fikir akhirat tak tergamak fitnah orang lain’, Pas diperli selepas sembang pasal…