PH Selangor beri sokongan penuh terhadap Amirudin
Pakatan Harapan (PH) Selangor menyatakan sokongan penuh yang tidak berbelah bahagi agar Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari kekal dalam jawatan tersebut sehingga tamat penggal pentadbiran.
Menerusi kenyataan bersama, parti-parti komponen PH berkata, sokongan tersebut adalah selaras dengan keperluan agar pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor stabil dan kukuh bagi melaksanakan pelbagai dasar yang telah direncana.
Antaranya, Rancangan Selangor Kedua, pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, agenda Iltizam Selangor Penyayang, Kompleks Stadium Shah Alam serta pelbagai lagi.
“Kesinambungan kepimpinan utama negeri akan memberi mesej positif kepada para pelabur dan komuniti peniagaan di Selangor,” kata tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor itu.
Kenyataan bersama tersebut daripada Timbalan Pengerusi PH Selangor merangkap Pengerusi DAP negeri, Ng Sze Han; Timbalan Pengerusi PH merangkap Pengerusi AMANAH negeri, Izham Hashim serta Naib Pengerusi PH yang juga Timbalan Pengerusi PKR negeri, Datuk Borhan Aman Shah.
Ketiga-tiga pemimpin itu berpendapat kepimpinan Amirudin selaku Pengerusi PH Selangor amat diperlukan bagi memperkukuh kerjasama bersama Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
“Pengalaman dan kepimpinan beliau adalah kunci kepada kesepaduan yang telah dibentuk sehingga membawa kepada kemenangan serta pembentukan Kerajaan Perpaduan di Selangor pada Pilihan Raya Negeri yang lalu.
“Selaku seorang pentadbir yang berpengalaman, kami juga berpandangan khidmat YAB Dato’ Seri Amirudin Shari turut diperlukan di Selangor bagi membantu memastikan Selangor terus kekal menjadi gedung ekonomi negara sekaligus menjayakan agenda Malaysia MADANI yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” menurut mereka lagi.
Terdahulu, muncul desas-desus menamakan Amirudin yang juga Naib Presiden PKR antara pemimpin PKR yang dijangka mengisi kuota menteri.
Ia susulan tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan pengunduran diri masing-masing sebagai Menteri Ekonomi serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
BACA JUGA Ada atau tidak rombakan Kabinet? Ini reaksi Anwar