PM akhiri lawatan ke Singapura, dua perkara ini antara yang dibincangkan

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatan kerja singkat ke Singapura dengan perbincangan antara lain meneliti kemajuan projek penting seperti Laluan Sistem Transit Laju Johor Bahru–Singapura (RTS Link) yang dijangka siap menjelang akhir 2026.

Perbincangan Perdana Menteri dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong itu turut menyentuh berkenaan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang akan memacu pertumbuhan ekonomi serantau.

“Kami bertukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala yang memerlukan kerjasama lebih erat pada masa hadapan termasuk soal sempadan, maritim, air, tenaga boleh diperbaharui serta inisiatif strategik seperti Grid Tenaga ASEAN,” katanya.

Menerusi hantaran Anwar di Facebook malam tadi, beliau berharap lawatan ke republik itu membawa manfaat besar dan menggandakan hasil kerjasama antara Malaysia dan Singapura dalam pelbagai sektor strategik.

“Semoga hubungan persahabatan kedua-dua negara terus diperkukuh demi kemakmuran bersama,” kata Perdana Menteri lagi.

Pagi semalam, Anwar tiba di Singapura untuk menghadiri Dialog Shangri-La (SLD) ke-22, iaitu persidangan berprestij pertahanan dan keselamatan serantau di Asia Pasifik, dalam rangka lawatan kerjanya selama sehari.

Beliau turut menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth.

BACA JUGA Mat Sabu ke Thailand bincang teknologi pertanian, ASEAN Express