Ini sebabnya jemaah tak dibenar jalan kaki dari Mekah ke Arafah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menasihatkan rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kebenaran pihak berkuasa Arab Saudi supaya tidak sesekali mengambil risiko dengan mencuba nasib mengerjakan ibadah itu.

Beliau berkata, kerajaan Arab Saudi akan mengambil tindakan penguatkuasan yang begitu ketat untuk memastikan keselamatan jemaah haji di seluruh dunia.

Jelasnya, perkara itu juga antara dibangkitkan melalui pertemuan menteri-menteri yang menerajui portfolio agama bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah hari ini.

“Saya harapkan jemaah haji kita yang tidak ada permit, jangan duduk di Tanah Suci untuk kerjakan haji secara tidak sah sebab tahun ini mereka (kerajaan Arab Saudi) kata mereka akan ambil tindakan penguatkuasan yang begitu ketat dan penguatkuasaan itu tak lain dan tak bukan untuk memastikan keselamatan jemaah haji di seluruh dunia.

“Sebab itu kita nampak jalan lengang tak macam tahun-tahun lepas dan kita harapkan dengan usaha dibuat kerajaan Arab Saudi ini, tidak ada ‘casualty’ (kehilangan nyawa) berlaku, kalau berlaku (juga) jumlah itu dapat dikurangkan berbanding tahun lalu,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian kepada media selepas menyertai Grand Hajj Symposium di Mekah semalam.

Menurutnya, jemaah haji tidak lagi dibenarkan untuk berjalan kaki dari Mekah menuju Arafah, sebaliknya perlu menaiki kenderaan disediakan.

“Mungkin ada jemaah kata ada kemampuan untuk berjalan jauh, tetapi ia tak (akan) berlaku macam tu (tahun ini).

“Tahun lalu ramai yang kena strok haba kerana berjalan begitu jauh dan disebabkan terlalu lama terdedah kepanasan dan ada yang meninggal dunia di situ juga.

“Arab Saudi tekankan untuk keselamatan diri jemaah haji untuk tahun ini,” kata beliau lagi.

BACA JUGA Sejak bila kerajaan paksa peniaga kecil guna tong gas komersial RM70?