Kezaliman Israel berterusan, lebih 3,000 trak bantuan perubatan ke Gaza dihalang

Kezaliman Israel berterusan apabila menghalang kemasukan lebih 3,000 trak bantuan kesihatan ke Gaza.

Tindakan rejim itu memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sedia kritikal, menurut seorang pegawai kanan kesihatan semalam, lapor Anadolu Ajansi.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Munir al-Bursh berkata, hospital di wilayah itu kini berdepan keadaan “malapetaka” akibat kekurangan ubat-ubatan dan bekalan perubatan yang teruk.

Menurutnya, pihak berkuasa Israel menyekat kira-kira 3,000 trak yang membawa peralatan kesihatan penting daripada memasuki Gaza dari bandar Arish di Mesir.

“Larangan berterusan rejim pendudukan terhadap kemasukan ubat-ubatan dan vaksin telah menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit dan wabak,” kata Bursh dalam satu kenyataan.

Beliau turut memaklumkan berlaku peningkatan mendadak kes cirit-birit akut, meningitis dan krisis kesihatan lain di Gaza.

Situasi tersebut diburukkan lagi dengan musnahnya sistem bekalan air dengan 90 peratus penduduk kini tidak mempunyai akses kepada air bersih.

Pembunuhan beramai-ramai

Dalam masa sama, Bursh turut mengkritik mekanisme pengagihan bantuan Israel yang baharu diperkenalkan dan menyifatkannya sebagai alat “pembunuhan beramai-ramai dan pemindahan paksa”.

Pejabat Media Kerajaan Gaza memaklumkan sekurang-kurangnya 49 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 300 lagi cedera dalam serangan Israel ke atas orang awam yang sedang mendapatkan bantuan kemanusiaan sejak 27 Mei lalu.

Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan sekatan Israel ke atas Gaza telah mewujudkan kebuluran buatan manusia.

Seramai 2.4 juta penduduk Gaza kini terjerumus dalam kebuluran akibat penutupan lintasan sempadan kepada bantuan kemanusiaan selama lebih 90 hari.

Sejak Oktober 2023, Israel terus melancarkan serangan dahsyat ke atas Gaza walaupun dikutuk antarabangsa dan menuntut supaya melaksanakan gencatan senjata.

Setakat ini, lebih 54,400 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terkorban akibat genosid dilakukan Israel.

BACA JUGA Azalina pertegas wakil dalam Kabinet mandat parti bukan kapasiti peribadi