Perpaduan keperluan utama pastikan kelangsungan pembangunan negara

Perpaduan nasional bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan utama untuk memastikan kelangsungan pembangunan negara, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perpaduan itu asas kepada pembangunan sebuah negara, selain menjadi pemangkin kepada kemajuan Malaysia.

“Malaysia hanya akan terus teguh jika kita kukuh berpadu.

“Kestabilan dan perpaduan nasional adalah syarat asas kepada segala kemajuan. Dalam dunia yang cepat berubah dan sarat cabaran, perpaduan bukan pilihan, ia adalah keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025, sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara, hari ini.

Berangkat pada istiadat itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Anwar berkata, Kerajaan MADANI di bawah naungan dan titah pandu Sultan Ibrahim akan terus komited melaksanakan agenda reformasi menyeluruh berpaksikan prinsip yang Madani.

“Pembangunan kebendaan semata tentu tidak mencukupi, malah mesti diseimbangkan dengan nilai manusiawi, keadilan sosial dan karamah insaniah,” katanya.

Menteri Kewangan itu berkata, pembangunan prasarana dan kemudahan awam tidak terbatas kepada projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sahaja.

Dalam masa sama, jelasnya, kemudahan asas seperti sekolah, hospital dan jaringan pengangkutan perlu diperbaiki, dinaik taraf serta ditingkatkan.

“Rakyat tidak hanya dijanjikan harapan, tetapi juga dibela secara nyata dan berterusan,” katanya.

Beliau turut menekankan strategi untuk meningkatkan pendapatan rakyat akan terus digerakkan melalui reformasi struktur ekonomi, kemasukan pelaburan berkualiti tinggi serta pengukuhan ekosistem teknologi dan inovasi.

Tambahnya, setiap anak watan harus berpeluang untuk maju, tanpa mengira latar belakang kaum atau budaya.

BACA JUGA Rupanya ini rahsia orang Jepun, Korea sekarang tinggi-tinggi