RM741,017 berjaya diraih beregu nombor tiga dunia ini
Sebanyak RM741,017 daripada lapan kejohanan berjaya diraih juara Asia yang juga beregu nombor tiga dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Jumlah terkumpul hadiah wang tunai itu paling lumayan setakat ini dalam kalangan tiga beregu negara yang menduduki kelompok 10 terbaik dunia.
Rekod Aaron-Wooi itu jauh mengatasi dua lagi beregu yang turut berada dalam kelompok elit dunia termasuk beregu nombor satu dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Sumbangan terbesar daripada jumlah tersebut dikaut selepas menjuarai Terbuka Singapura yang berstatus Jelajah Dunia Super 750 BWF semalam dengan ganjaran lumayan RM314,921.
Lapor BH, ia adalah gelaran juara ketiga tahun ini selepas turut menjuarai Kejohanan Badminton Asia dan Terbuka Thailand (Super 500 BWF).
Sebagai juara Asia, Aaron-Wooi Yik membawa pulang RM157,466 manakala gelaran di Terbuka Thailand memberikan pulangan RM80,688.
Selain itu, pencapaian ke final Masters Malaysia turut menambah RM76,815 ke dalam poket mereka.
Dua penampilan di separuh akhir, masing-masing di Masters Indonesia dan Terbuka India pula menyumbang tambahan RM28,300 dan RM56,602.
BACA JUGA Perpaduan keperluan utama pastikan kelangsungan pembangunan negara