AGC tegaskan pengampunan Anwar ikut prosedur, Mahathir pun hadiri mesyuarat

Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa proses pengampunan penuh yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2018 telah dijalankan mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan dan prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Pengampunan.

Dalam kenyataan rasmi hari ini, AGC memaklumkan bahawa Mesyuarat Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-51 telah diadakan pada 16 Mei 2018, di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Mesyuarat tersebut pada waktu itu telah dipengerusikan oleh Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V.

“Mesyuarat turut dihadiri antaranya oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri selaku Perdana Menteri pada masa itu,” kata AGC.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan dakwaan Mahathir yang menyatakan secara terbuka bahawa pengampunan tersebut adalah tidak sah kerana didakwa tidak melalui persidangan Lembaga Pengampunan.

AGC menjelaskan bahawa atas nasihat Lembaga Pengampunan, Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu telah bertitah perkenan membenarkan rayuan pengampunan penuh Anwar dan memberikan pembebasan serta-merta berkuat kuasa pada hari yang sama.

“Bagi tujuan mesyuarat tersebut, Peguam Negara juga telah memberikan pendapat bertulis mengenai perkara itu selaras dengan Fasal (9), Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan untuk pertimbangan Lembaga Pengampunan,” jelas kenyataan itu.

Jabatan itu turut memandang serius kenyataan-kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan awam terhadap keputusan Lembaga Pengampunan dan menegaskan bahawa isu ini melibatkan kepentingan perlembagaan serta institusi negara.

“AGC memandang serius perkara ini sebagai isu yang melibatkan kepentingan perlembagaan dan institusi.

“AGC juga menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat mengenai keputusan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar sama sekali,” kata kenyataan itu lagi.

BACA JUGA Amirudin sangkal dakwaan lepaskan kerusi Sungai Tua kepada Tengku Zafrul