Amirudin sangkal dakwaan lepaskan kerusi Sungai Tua kepada Tengku Zafrul
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan desas desus yang mendakwa kerusi Sungai Tua yang disandangnya akan diberi kepada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Amirudin berkata, untuk memberikan laluan kepada seseorang individu bukanlah semudah itu.
Beliau juga berpendapat dakwaan yang tular hanyalah imaginasi pihak tertentu yang cuba disebarkan kepada orang ramai.
“Setakat ini, itu masih lagi cakap-cakap dan saya rasa dia imaginasi. Cuba ‘impose’ imaginasi dia kepada awam melalui hantaran-hantaran yang dikeluarkan di media sosial dan sebagainya.
“‘It’s not that simple’. Ia perlukan penelitian yang jitu dalam hal tersebut,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Penyerahan E-Bike kepada Polis Selangor hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, fokus yang penting sekarang adalah untuk meluruskan kepimpinan dan memberi tumpuan kepada beberapa isu membabitkan kestabilan Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan kononnya kerusi Sungai Tua akan dikosongkan untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan.
BACA JUGA Razman, tak payahlah berselindung di sebalik suara rakyat