Razman, tak payahlah berselindung di sebalik suara rakyat
Penolong setiausaha publisiti DAPSY Kebangsaan Syaheera Ghafar menyelar Ketua Pembangkang Perak Razman Zakaria kerana berselindung di sebalik suara rakyat dalam isu karikatur.
“Saya amat tidak bersetuju dengan kenyataan Razman bahawa karikatur itu berupa “penghinaan” kepadanya dan atas sebab itu juga satu laporan polis telah dibuat hingga Ketua DAPSY tersebut telah dipanggil ke balai polis untuk siasatan, kerana katanya suara yang dibawanya adalah “suara rakyat”.
“Pada saya, jika beliau mahu membawa suara sebenar rakyat, jadilah pemimpin yang membawa suara kebenaran, mengajak kepada perpaduan serta keharmonian.
“Ini kerana rekod beliau sebagai ahli politik dari parti PAS sememangnya tidak menunjukkan ciri-ciri pemimpin yang membawa suara tulus hati rakyat.
Dalam satu kenyataan semalam, Razman mendakwa isu karikatur oleh Exco Perak Woo Kah Leong merangkap Ketua DAPSY ialah cubaan memperlekeh suara rakyat dan merupakan penghinaan kepadanya.
Saya sedar, dalam arus politik hari ini, teguran yang tegas terhadap kelemahan kerajaan sering kali dibalas bukan dengan hujah, tetapi dengan ejekan. Karikatur saya digambarkan sebagai badut, bukan sekadar satu penghinaan kepada saya secara peribadi, tetapi satu cubaan memperlekeh suara yang saya bawa, suara rakyat.
Empat soalan untuk Razman
Syaheera turut membandingkan tindakan yang diambil oleh Razman berbanding dengan para pemimpin DAP dan Pakatan Harapan dalam bentuk empat soalan.
“Adakah karikatur badut yang dimuat naik beri kesan besar kepada rakyat, dibanding dengan dakwaan palsu Razman pada tahun 2017 terhadap Lim Guan Eng yang kononnya Lim menyokong larangan pemakaian tudung bagi pekerja-pekerja hotel?
“Razman kemudiannya diarah bayar RM250,000 oleh mahkamah kepada Lim kerana kesannya membuatkan Lim dilihat sebagai anti-tudung dan boleh menimbulkan kebencian dalam kalangan masyarakat terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
“Adakah karikatur badut berwajah Razman yang dimuat naik beri kesan besar kepada keharmonian masyarakat dibanding dengan tuduhannya kepada Datuk Seri Anwar bin Ibrahim pada tahun 2023 yang mengaitkan Perdana Menteri Malaysia itu mempunyai agenda LGBT dalam satu ucapan ketika Kempen Pilihan Raya Umum ke-15?
“Walaupun kes ini diselesaikan di luar mahkamah dan Razman telah membuat permohonan maaf terbuka kepada PMX kita, bukankah ia mewujudkan ketegangan antara masyarakat dengan pegangan yang pelbagai di Malaysia ini?
“Soalan saya seterusnya, adakah karikatur badut berwajah Razman yang dimuat naik beri kesan besar kepada perpaduan masyarakat dibanding dengan tuduhan provokasinya mengaitkan Nga Kor Ming dan Woo Kah Leong dalam insiden pengibaran bendera China di Teluk Intan pada Oktober 2024?
“Fitnah ini kemudiannya berakhir dengan permohonan maaf secara terbuka apabila beliau sendiri mengakui impak kepada kenyataan awalnya bahawa “YB Nga boleh dianggap sebagai seorang yang tidak taat setia kepada negara serta gagaI untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan kedaulatan negara.”
“Soalan terakhir daripada saya, adakah karikatur badut berwajah Razman beri kesan besar kepada kesatuan masyarakat dibanding dengan satu seruan berbaur perkauman yang dibuatnya pada Oktober 2024 apabila menggesa mereka yang mata, kulit dan darahnya seperti dirinya untuk bersatu susulan insiden yang sama di Teluk Intan?
“Adakah seruan berbaur perkauman itu dirasakan baik untuk rakyat dan menggambarkan suara sebenar masyarakat?”
BACA JUGA: Pengampunan Anwar salah? Pengampunan Anwar sah, dari segi undang-undang