Netizen korek hantaran lama Mahathir ketika hadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan
Hantaran Facebook milik Tun Dr Mahathir Mohamad kira-kira tujuh tahun lalu kembali tular selepas tersebar video kenyataan terbaharu beliau yang mempertikai proses pengampunan penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hantaran yang dimuat naik pada 16 Mei 2018 itu memaparkan beberapa keping gambar Mahathir sewaktu menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengampunan di Istana Negara.
Turut kelihatan dalam gambar tersebut ialah detik beliau bersalaman dengan Anwar yang ketika itu baru dibebaskan dari penjara.
Perkongsian semula hantaran itu susulan pemimpin pembangkang memuat naik rakaman video Mahathir, yang antara lain mendakwa beliau menandatangani dokumen berkaitan pengampunan Anwar tanpa melalui mesyuarat Lembaga Pengampunan dan tanpa nasihat Peguam Negara.
Dakwaan itu mencetuskan reaksi segera daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), yang dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa Mesyuarat Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-51 telah diadakan pada pagi 16 Mei 2018, dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V, dan turut dihadiri oleh Mahathir sendiri selaku Perdana Menteri ketika itu.
“Bagi tujuan mesyuarat tersebut, Peguam Negara juga telah memberikan pendapat bertulis mengenai perkara itu selaras dengan Fasal (9), Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan untuk pertimbangan Lembaga Pengampunan,” menurut kenyataan AGC.
AGC turut memandang serius kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat mengenai keputusan Lembaga Pengampunan dan menegaskan bahawa isu ini menyentuh kepentingan institusi dan perlembagaan negara.
Kenyataan bercanggah Mahathir dengan bukti kehadiran beliau dalam mesyuarat tersebut kini menarik perhatian ramai, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai motif sebenar di sebalik kenyataan yang dikeluarkan tujuh tahun selepas peristiwa itu.
BACA JUGA Speaker jawab Pemuda Pas kenapa sidang Parlimen terpaksa ditangguh ke Julai