Apa kata menteri selepas melawat pusat penyembelihan halal Jepun?
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berharap rakyat Malaysia menjadi peneraju dalam rantaian nilai halal global bukan sekadar pengguna.
Beliau berkata demikian selepas berkongsikan pengalamannya melawat pusat penyembelihan halal Sanda Shokuniku Kosha di Kita-ku, Kobe City, Wilayah Hyogo, Jepun.
Katanya, pusat penyembelihan halal tersebut satu-satunya fasiliti halal yang diiktiraf di wilayah itu dan terkenal dengan pengeluaran Halal Kobe Beef.

Menurutnya, lawatan rasmi itu adalah sebahagian daripada penglibatan Malaysia dalam Ekspo Dunia Osaka 2025 yang memberi peluang kepada Malaysia untuk memahami lebih dekat amalan terbaik industri daging halal Jepun.
Amalan itu termasuklah dari aspek pemprosesan, kebersihan, sistem pengesanan serta penggunaan teknologi moden yang menepati keperluan keselamatan makanan.
Sehubungan itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Sanda Shokuniku Kosha atas komitmen tinggi dalam mematuhi piawaian halal antarabangsa dan memperkukuh ekosistem halal serantau.

“Kerjasama strategik sebegini amat penting dalam usaha mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab halal global,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, kementerian diterajuinya akan memberi penekanan kepada pemerkasaan industri ruminan sepanjang tahun ini.
Ia, ujarnya, selaras dengan pendekatan Malaysia MADANI yang menekankan nilai-nilai mampan, sejahtera dan berdaya cipta.
“Kita ingin melihat lebih banyak penglibatan anak tempatan dalam sektor ini, dengan teknologi moden dan jaminan halal sebagai asas kejayaan,” tambah beliau lagi.
BACA JUGA Sebelum ini ‘jebon’ kini ‘lanun dan syaitan’ pula sedang ganggu kepimpinan ulamak Pas