Lapan soalan keperlembagaan bukan untuk kekebalan di mahkamah, tegas PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan permohonan untuk mengemukakan lapan soalan keperlembagaan bukan bertujuan untuk mendapatkan kekebalan di mahkamah.

“Perkara ini bukanlah soal mencari kekebalan peribadi atau cuba mengelak daripada semakan undang-undang.

“Ia berkaitan dengan integriti sistem perlembagaan kita dan keperluan untuk memastikan bahawa jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam dilindungi daripada litigasi yang mungkin bersifat strategik, bermotifkan politik, atau mengganggu institusi.

Anwar berkata demikian dalam mengulas keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak semakan kehakiman berdasarkan lapan soalan keperlembagaan dalam mendepani saman sivil oleh bekas penyelidiknya, Yusoff Rawther.

Mahkamah turut memerintahkan Anwar membayar kos RM20,000.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan komitmennya kepada kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman.

“Saya kekal komited sepenuhnya kepada kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman, dan maruah tadbir urus demokratik.

“Proses undang-undang akan diteruskan, dan saya akan terus melaksanakan tanggungjawab saya tanpa gangguan atau kompromi.”

BACA JUGA: Permohonan persoalan undang-undang berkaitan kekebalan terhad oleh PM Anwar ditolak mahkamah, kenapa pula?