Lebih 33,000 asnaf MAIWP dapat RM500 sempena Aidiladha
Berita baik buat seramai 33,300 orang asnaf penerima bantuan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sempena sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini.
MAIWP memaklumkan mereka terbabit yang terdiri daripada asnaf fakir, miskin, muallaf dan Ar-Riqab akan menerima insentif tersebut berjumlah RM500 setiap seorang.
Menerusi kenyataan, Bantuan Insentif Khas Aidiladha yang diluluskan itu sebagai tanda keprihatinan terhadap asnaf.
Sehubungan itu, MAIWP telah memperuntukkan sebanyak RM16.65 juta daripada wang kutipan zakat yang diterima untuk diagihkan bagi membolehkan para asnaf membuat persediaan menyambut Aidiladha.
“Bantuan Insentif Khas ini akan dikreditkan ke dalam akaun penerima selewat-lewatnya pada 6 Jun 2025.
“Semoga wang zakat yang dibayar oleh para pembayar zakat melalui PPZ MAIWP akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
“MAIWP sentiasa berusaha dari masa ke semasa melihat keperluan asnaf selaras dengan hala tuju MAIWP menjadi peneraju kesejahteraan ummah secara holistik melalui pendekatan lestari,” menurut majlis agama Islam itu lagi.
BACA JUGA Terperdaya tawaran haji visa mujamalah, ini nasib 80 jemaah di KLIA