Pintu perubahan yang cuba ditutup menjelang Muktamar Pas

Oleh LOKMAN NOOR ADAM

Suara untuk kekalkan Uztaz Abdul Hadi Awang dan kepimpinan tertinggi Pas pada Muktamar Tahunan Pas Ke-71 September ini dilihat semakin rancak disusun dikala terdapatnya suara-suara “perubahan” diperingkat akar umbi dalam parti Pas itu sendiri.

Dulu bila perwakilan Perhimpunan Agong Umno mengundi agar Jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan, teruk Umno dikecam puak Pas.

Di dalam hal ini, kumpulan yang inginkan “perubahan” dalam kepimpinan tertinggi pada September nanti telah mula di downgred dan ada yang telah diberikan label tertentu.

Selagi boleh menunggang, selagi itulah skill tunggangan dijadikan sandaran untuk pertahankan kuasa atau jawatan. Kali ini kumpulan yang inginkan “perubahan” telah dilabel sebagai “Kumpulan Pro-DAP” (ini bermaksud, selain UMDAP, mereka juga telah akui ada juga PasDAP dalam Pas).

Malah lebih buruk dari itu, mereka yang inginkan
“perubahan” ini juga telah dituduh “mengganggu kepimpinan ulama” dan diberikan gelaran sebagai “syaitan-syaitan di kalangan manusia dan jin”. (ini pelik, boleh pula kesan syaitan-syaitan bila tiba waktu pemilihan. Sebelum pemilihan, batang tubuh syaitan pun mereka tidak nampak);

Terkini, Naib Presiden Pas iaitu Ustaz Mohd Amar telah memberikan bayangan atau “hint” bahawa kepimpinan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden harus dikekalkan. Beliau juga berkata, jika Presiden ingin berundur sekalipun, tidak perlu ada pertandingan, sebaliknya posisi tersebut digantikan dengan Timbalan Presiden sahaja.

Usaha untuk mengekang “perubahan” pada Muktamar Tahunan Pas Ke-71 akan datang ini bukan sahaja melibatkan usaha mengekalkan kepimpinan sedia ada, tetapi ia juga melibatkan usaha untuk merangka atau menentukan “cai” (list) kumpulan “anti perubahan” (geng-geng Presiden) menang pemilihan Pas.

Kepentingan penentuan “cai” (list) ini jelas kelihatan apabila Ustaz Mohd Amar menyeru Pas “menyusun” keanggotaan di peringkat ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu sendiri supaya (kononnya) semua kebolehan yang ada iaitu tokoh agamawan, profesional dan teknokrat dapat digabungkan.

Persoalannya sekarang, jika bukan “cai”, siapakah pihak yang dimaksudkan oleh Ustaz Mohd Amar Abdullah untuk “menyusun” keanggotaan di peringkat ahli Jawatankuasa Pas Pusat ini?.

Bukankah lebih baik beliau menggalakkan “pertandingan terbuka” kepada semua ahli dari meminta untuk “menyusun” (menentukan “cai”) pada pemilihan akan datang;

Kesimpulannya, kalau mereka yang inginkan “perubahan” boleh digelar sebagai “mengganggu kepimpinan ulama” dan dilabelkan sebagai “syaitan-syaitan dikalangan manusia dan jin”, bagaimana pula pemimpin Pas yang tidak ingin mendengar suara perwakilan di kalangan akar umbi?

Bila cakap pasal parti lain, bukan main hebat mereka ulas. Bila ada usaha hendak tukar kepimpinan tertinggi parti atau puak mereka, semua disyaitankan. Kesian Annuar Musa dan Shahidan Kassim yang mengidam hendak bertanding.

Sia-sia depa khianat Umno dan lompat parti kalau nama tiada dalam cai, payahlah mereka nak menang. Lebih malang, mungkin merekapun digelar “syaitan” nanti walaupun mereka penat berusaha nak jadi lebai.

BACA JUGA Lapan soalan keperlembagaan bukan untuk kekebalan di mahkamah, tegas PM Anwar