PM Anwar doakan kesihatan Sultan Hassanal Bolkiah

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berada dalam keadaan baik dan proses pemulihan berjalan lancar selepas baginda keluar dari Institut Jantung Negara (IJN), 31 Mei lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkembangan baginda Tuanku Sultan Hassanal itu menerusi hantaran di Facebook beliau, lewat malam tadi.

“Alhamdulillah, Baginda Tuanku berada dalam keadaan baik dan proses pemulihan berjalan lancar selepas keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN) tempoh hari.

“Semoga Baginda Tuanku dikurniakan keafiatan dan kekal qarar memerintah Negara Brunei Darussalam,” ucap Perdana Menteri.

Dalam masa sama, Perdana Menteri memberitahu beliau berkesempatan menziarahi Sultan Hassanal, 78, sebelum baginda berangkat pulang ke Bandar Seri Begawan, Brunei, petang tadi.

PM Anwar dan isteri menziarahi baginda Tuanku Sultan Hassanal Bolkiah di Kuala Lumpur petang semalam.

Isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilihat turut menziarahi Sultan Hassanal dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Terdahulu, Sultan Brunei dilaporkan berehat di IJN sejak 27 Mei kerana keletihan selepas dua hari tiba di Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Baginda menaiki takhta kerajaan Brunei pada 1967 dan dikurniakan 12 orang anakanda iaitu lima putera dan tujuh puteri hasil perkahwinan dengan tiga isteri.

BACA JUGA Netizen korek hantaran lama Mahathir ketika hadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan