Politik jalan kuasa laksana syariat Islam
Oleh FAIZ FADZIL
Ada yang keliru antara ungkapan ‘politik bukan akidah’ dan ‘akidah dan perjuangan’. Lebih menggerunkan apabila ada yang mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan kedua-dua ungkapan ini, sedangkan adu-domba itu sikap munafik.
Mengelirukan orang awam atas nama agama satu virus yang bahaya kepada masyarakat, sedangkan maqasid syariat adalah bertujuan untuk menjaga keamanan masyarakat.
Ungkapan pertama ‘politik bukan akidah’ membawa maksud bahawa politik bukan satu agama atau kepercayaan. Agama atau kepercayaan itu akidah yang tidak boleh dipertikai.
Politik itu relativism, akidah itu absolutism, politik itu berubah, akidah itu tetap, politik itu ciptaan manusia, akidah itu ciptaan Allah, politik itu dikemudi nafsu, akidah dikemudi al-Quran.

Oleh sebab itu, seorang alim tetapi apabila berpolitik, hudud menjadi tunggangan, sedangkan hudud dalam aqidah hukumnya wajib.
Seorang alim apabila berpolitik, kumpulan Cina pada satu masa menjadi haram, tetapi masa yang lain pula menjadi halal.
Seorang alim apabila berpolitik, kerajaan sanggup dikhianati sedangkan aqidah melarang khianat.
Sebab apa semua ini dilihat fragile, sebab politik itu dipandu nafsu, segalanya berkemungkinan, asalkan kuasa dimiliki.
Mengangkat akidah
Adapun ungkapan kedua ‘akidah dan perjuangan’ membawa maksud politik perlu diperjuangkan untuk mengangkat akidah.
Politik adalah wasilah bagi menegakkan akidah dan politik jalan kuasa bagi melaksanakan syariat Islam. Wasilah ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang cintakan Islam.
Maka, politik bukan perkara akidah, namun bukan bermakna politik itu tidak penting dalam Islam.

Politik bukan bermaksud batas iman dan kufur. Bermakna, berpolitik tidak menghalalkan perbuatan mengkafirkan seseorang hanya kerana berlainan pandangan, pendekatan dan wadah.
Jelas, kedua-dua ungkapan ini berbeza dari sudut makna, namun sama menerangkan sifat sebenar politik dalam Islam.
Memperjuangkan Islam amanah semua insan, bukan satu golongan sahaja, walaupun dikelilingi orang alim, kerana alim itu bukan asasnya.
Asas kepimpinan politik adalah kompetensi dan amanah (Surah al-Qasas:26).
*FAIZ FADZIL merupakan Setiausaha Agung AMANAH.
BACA JUGA Yakin PRU16 tahun depan, Mohd Amar kritik ulama Pas tapi puji DAP