Yakin PRU16 tahun depan, Mohd Amar kritik ulama Pas tapi puji DAP

Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berpendapat Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berlangsung pada tahun depan.

Sehubungan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan berkata, Dewan Ulama Pas berperanan besar jika pembangkang menerajui Kerajaan Persekutuan.

“Itulah sebabnya saya sering ulang dan saya masih pegang pendirian ini bahawa tahun 2026 ialah tahun pilihan raya umum.

“Tarikhnya mungkin awal, pertengahan atau hujung tahun. Tetapi ia tetap tahun yang kritikal.

“Maka kalau Allah takdirkan kita menang, apa yang kita hendak buat? Apa satu perkara utama yang akan kita laksanakan?

“Kita tidak boleh lagi masuk ke Putrajaya tanpa pelan. Dan di sinilah peranan besar Dewan Ulama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Naib Presiden Pas berkenaan berkata, Dewan Ulama bukan sekadar tempat rujuk fatwa tetapi perlu menjadi badan pemikir gerakan Islam.

“Mereka mesti tampil bukan hanya menjawab hukum, tetapi merangka dasar negara.

“Malangnya, kadang-kadang kita masih terkepung dalam pendekatan lama. Ulama hanya dilihat sebagai guru fardhu ain,” ujarnya.

Dalam masa sama, Mohd Amar memuji DAP yang disifatkan mempunyai pelan apabila berada dalam kerajaan.

“Kita (Pas) mengkritik pihak lawan, kritik DAP, tetapi mereka datang dengan pelan.

“Dua kali DAP memerintah, mereka tidak banyak bercakap. Mereka terus buat. Kerana mereka sudah bersedia.

“Kita pula bila masuk kerajaan, debat panjang tentang warna kasut sekolah. Tahun demi tahun berlalu, tapi tiada hala tuju yang jelas,” akuinya lagi.

BACA JUGA Lebih 33,000 asnaf MAIWP dapat RM500 sempena Aidiladha