VEP dikuatkuasa sepenuhnya mulai 1 Julai

Kerajaan Malaysia akan melaksanakan penguatkuasaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) sepenuhnya bermula 1 Julai depan bagi memastikan tahap keselamatan pengguna jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata penguatkuasaan VEP di pintu sempadan darat Malaysia-Singapura telah dilaksanakan mulai 1 Oktober tahun lalu secara berfasa.

Jelasnya, menerusi kaedah advokasi kerajaan mengeluarkan notis peringatan kepada pemilik kenderaan Singapura yang belum membuat pendaftaran VEP.

Beliau berkata, sepanjang penguatkuasaan fasa pertama, sebanyak 52,012 kenderaan Singapura telah diperiksa secara rawak dan 2,245 (4.32%) notis peringatan telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan Singapura yang belum mendaftar VEP.

“Oleh itu, pihak JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) akan mengeluarkan notis saman kepada pemilik kenderaan asing yang tidak mendaftar atau aktifkan VEP.

“Pelaksanaan penguatkuasaan ini adalah selaras dengan Seksyen 66H (7), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) di mana menjadi kesalahan jika mana-mana orang yang memandu kenderaan motor asing tanpa permit sebelum memasuki atau berada di dalam Malaysia,” katanya dalam sidang media hari ini.

Loke berkata, pemilik kenderaan asing yang dikenakan tindakan saman atas sebab tiada VEP sah, perlu menyelesaikan saman tersebut sebelum keluar dari Malaysia.

“Bayaran saman perlu dibuat melalui kaedah tanpa tunai di Kaunter Pejabat JPJ, Kaunter Bergerak JPJ Mobile atau secara online (myEG),” katanya.

Sehubungan itu, pihak JPJ menyeru kepada semua pemilik kenderaan motor asing untuk segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa memasuki dan keluar dari Malaysia pada masa akan datang.

“JPJ komited dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik dan cekap demi menjamin kesejahteraan dan keselesaan pengguna jalan raya,” kata beliau lagi.

BACA JUGA Yakin PRU16 tahun depan, Mohd Amar kritik ulama Pas tapi puji DAP