Buli rakan sampai parah, lapan penuntut UMT dihadap ke mahkamah

Lapan penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membuli sehingga menyebabkan cedera parah terhadap seorang penuntut universiti itu.

Tertuduh lelaki berusia antara 21 hingga 23 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa, Amirul Daniel Darul Iman Amirfaisal, di sebuah bilik Kolej Kediaman Ibnu Hibban, UMT, pada 15 Disember 2024, antara jam 1.30 hingga 5.00 pagi.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 6 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM5,000.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan 12 penuntut sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini yang dipercayai terbabit dalam kejadian pukul secara bergilir-gilir di sebuah kolej kediaman.

BACA JUGA Kerajaan lulus ujian kebebasan kehakiman, kata Pengerusi Bersih