Kerajaan lulus ujian kebebasan kehakiman, kata Pengerusi Bersih
Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk persoalan sama ada seorang Perdana Menteri kebal daripada tindakan saman, disifatkan sebagai satu ujian penting terhadap kebebasan institusi kehakiman di negara ini.
Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz berkata, dari sudut kebebasan kehakiman, kes ini merupakan ujian pertama buat Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar sendiri memandangkan ia melibatkan kedudukan Perdana Menteri.
“Namun saya kira kerajaan lulus dalam ujian pertama ini,” katanya dalam satu ciapan di X susulan keputusan mahkamah itu.
Menurut Faisal, prinsip kebebasan kehakiman perlu terus ditegaskan agar mahkamah mampu membuat keputusan secara adil dan saksama.
“Kita tegaskan Mahkamah harus bebas ‘without fear or favour’ dalam membuat keputusan berdasarkan fakta kes dan tafsiran undang-undang atas prinsip keadilan tanpa mengira darjat,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa selain prinsip keadilan, setiap keputusan kehakiman perlu juga mengambil kira nilai tanggungjawab dan akauntabiliti sebagai asas menjunjung kedaulatan undang-undang.
Terdahulu Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar bagi merujuk lapan persoalan undang-undang, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.
Anwar memohon Mahkamah Persekutuan menjawab persoalan, termasuk sama ada mengikut Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang perdana menteri yang sedang memegang jawatan, mempunyai kekebalan terhad daripada tindakan saman berhubung dakwaan perlakuan peribadi yang berlaku sebelum pelantikan beliau.
Rujukan persoalan undang-undang itu adalah berkaitan saman sivil yang difailkan bekas penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther.
BACA JUGA ‘Kadangkala keputusan tidak popular lebih penting demi kepentingan ekonomi’