Hanya ‘mampu’ habiskan RM1 juta sambut hari lahir anak, belikan jam Rolex dan Vellfire
Seorang usahawan menjadi bualan orang ramai apabila memberitahu telah menghabiskan sebanyak RM1 juta hanya untuk sambutan ulang tahun kelahiran anak perempuannya yang berusia 11 tahun.
Menerusi video yang dimuatnaik di TikTok Farhana Zahra, terpampang suasana sambutan itu yang mewah dengan hadiah mahal seperti komputer jenama Apple, jam tangan Rolex dan kereta Toyota Vellfire.
“Maaafkan mama, ni je mama mampu bagi untuk anak mama. (RM)1 juta sahaja. Mama habiskan untuk birthday kali ini,” tertera kapsyen pada video dikongsi Cikna yang berasal dari Kelantan itu.
Setakat ini, rakaman tersebut meraih sebanyak 2.3 juta tontonan dengan rata-rata komentar mengingatkan agar usahawan produk Momegojes dan Vavavoom berkenaan tidak riak atau menunjuk-nunjuk.
Ramai menegaskan mereka sama sekali tidak mencemburui kekayaan wanita itu tetapi menasihatkan agar detik-detik berharga meraikan anak itu dikongsi tanpa perlu menyebutkan jumlah perbelanjaan.
Tidak kurang juga secara sinis berkata, mereka memberi duit belanja sekolah anak jauh lebih banyak apalagi untuk meraikan hari jadi.
“RM1 juta je? Ya Allah, kesian anak. Duit belanja sekolah anak saya pun paling kurang RM5 juta kak. Janganlah kedekut sangat dengan anak-anak, rezeki tu.
“Semua nak beritahu harga. Beza jauh dengan KA (Khairul Aming), Tok Ti dan jutawan-jutawan lain yang ada kelas tersendiri.
“Ni je mama mampu bagi anak mama, 1 juta sahaja”. Tolong beri perhatian kepada mereka, mereka dahagakan perhatian,” demikian antara reaksi warganet di ruangan komentar TikTok Farhana.
BACA JUGA ‘MB Kedah, MB Kelantan pun patut cuti berehatlah tempoh hari’