‘Kadangkala keputusan tidak popular lebih penting demi kepentingan ekonomi’
Apabila negara semakin membangun dan jumlah penduduk bertambah, keperluan terhadap sistem pengangkutan yang efisien menjadi semakin mendesak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sentiasa mengambil berat soal pengangkutan awam, baik darat, laut mahupun udara, kerana ia bukan sekadar soal infrastruktur tetapi menyentuh keselesaan dan masa depan rakyat.
“Saya bangkitkan perkara ini sewaktu Forum Ilmuan Malaysia MADANI Siri 6 (Prasarana Malaysia Berhad).
“Alternatif terbaik demi manfaat rakyat tanpa mengabaikan kecekapan dan keperluan masa depan. Sentiasa dicari bukan sahaja dalam bidang pengangkutan, tetapi juga dalam aspek lain yang menjadi keutamaan seperti kesihatan dan pendidikan,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.
Menurut beliau, forum seperti ini menjadi platform penting untuk membuka ruang wacana yang bermakna berkaitan permasalahan rakyat serta tindakan kerajaan dalam menanganinya.
“Sebelum memutuskan dasar atau kaedah terbaik, kita perlu mendengar pandangan pelbagai pihak, termasuk hal-hal yang sebelum ini dianggap remeh seperti isu urbanisasi, dasar pengangkutan negara, serta suara komuniti OKU,” ujarnya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kadangkala keputusan yang tidak popular itulah yang penting demi menjamin kepentingan ekonomi dan masa depan negara.
BACA JUGA Pelancong asing ke Malaysia, atasi Thailand, jadikannya juara pelancongan di Asia Tenggara