Malaysia sebagai Presiden UN-Habitat dan pencapaiannya dalam negara

Pemilihan Malaysia sebagai Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) terutamanya Matlamat ke-11 berkaitan bandar dan komuniti mampan.

“Pemilihan ini adalah membuktikan kemajuan Malaysia dalam pembangunan bandar yang mampan. Malah kita telah mencapai 43 peratus daripada penanda SDG.

“Purata pencapaian SDG dunia ialah 17 peratus,” kata setiausaha akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, En Qi Hee dalam satu hantaran di LinkedIn.

Selaras dengan itu, kementerian tersebut akan menumpukan perhatian kepada tiga isu utama.

Isu pertama ialah perumahan mampu milik yang mencukupi.

“Setakat Mac 2025, kita telah mencapai 98.4% daripada sasaran untuk menyediakan 500,000 rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia ke-12. Kadar pemilikan rumah sekarang ialah 76%,” kata En.

Perumahan mampu milik ialah rumah berharga RM300,000 dan ke bawah yang mendapat permintaan paling tinggi, menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).

Program Perumahan Rakyat yang dijenamakan semula sebagai Program Residensi Rakyat dengan ciri yang lebih mesra dan mapan seperti panel solar turut membantu mencapai sasaran tersebut.

Isu kedua ialah usaha pembangunan semula bandar.

“DBKL telah mengenalpasti 139 tapak pembangunan semula bandar di Kuala Lumpur. Nilai anggaran kasar tapak-tapak ini ialah RM355.3 bilion.

“Rang Undang-Undang Pembangunan Semula Bandar akan menyediakan rangka kerja undang-undang untuk pembangunan semula.penggiatan dan penjanaan semula kawasan bandar tanpa mengenepikan penduduk yang sedia ada.”

Isu ketiga pula ialah pengurusan sisa secara mampan.

“Majlis Ekonomi Kitaran Kebangsaan dan Cetak Biru Ekonomi Kitaran untuk Sisa Pejal (2025-2035) telah dirasmikan. Tanah isian sebesar 18.7 ekar di Bandar Tenggara, Johor telah diubah menjadi taman rekreasi awam.”

Malaysia menjadi Presiden (UN-Habitat) pada 30 Mei.

BACA JUGA: 193 negara sepakat lantik Malaysia sebagai Presiden UN-Habitat