Selepas dua tahun, menara milik keluarga Daim disita sekali lagi

Pernah disita dua tahun lalu, Menara Ilham di Jalan Binjai, Kuala Lumpur milik keluarga bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dikenakan tindakan sama hari ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menyita bangunan 60 tingkat itu.

Menurut SPRM, sitaan itu berdasarkan Notis Penyitaan Harta Tak Alih mengikut Seksyen 51(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) bertarikh 4 Jun 2025.

“Menerusi notis ini, kebenaran sitaan ini dibuat berdasarkan kuasa yang diberikan kepada Pendakwa Raya mengikut Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dengan Timbalan Pendakwa Raya berpuas hati dengan maklumat diberikan oleh Pegawai SPRM bahawa ia berkait dengan suatu kesalahan mengikut subseksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001,” katanya.

“Sehubungan itu, adalah diperintahkan bangunan Menara Ilham disita oleh Pegawai Penyiasat SPRM dan segala urusan berhubung pindah milik harta tidak alih berkenaan kini adalah dilarang dan kegagalan untuk mematuhi Notis ini adalah kesalahan mengikut AMLATFPUAA 2001,” tegas SPRM.

Menara Ilham juga dikenali sebagai Menara IB, singkatan kepada Ilham Baru yang siap dibina pada 2015 terdiri daripada hotel empat bintang, galeri, medan selera dan kedai cendera mata.

Berketinggian 274 meter, sebanyak 33 tingkat aras Menara IB pula adalah untuk kegunaan pejabat dan selebihnya apartmen.

Daim yang meninggal dunia pada 13 November tahun lalu sebelum ini disiasat SPRM berhubung transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997.

Transaksi yang membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan pentadbiran kerajaan di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

Siasatan tersebut susulan pendedahan dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

Ekoran itu, SPRM membekukan akaun bank berjumlah lebih RM39 juta antara lain membabitkan milik bekas menteri kanan, dua ahli perniagaan bergelar ‘Tan Sri’ dan ahli keluarga mereka.

Pembekuan pada Jun 2023 itu membabitkan 192 akaun bank, merangkumi 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu.

BACA JUGA Apa kedudukan Tengku Zafrul sekarang? Ini jawapan Fahmi