Anwar titip mesej Aidiladha, ikhtiar bantu Gaza tidak akan dilupa

Tatkala umat Islam melaungkan semarak takbir Aidil Adha, semua pihak diingatkan tidak melupakan saudara seagama di Gaza yang berkorban mempertahankan kota dan wilayahnya

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan Hari Raya Aidiladha sebentar tadi, menyatakan keprihatinan terhadap nasib saudara-saudara seagama yang masih diuji dengan penderitaan dan penindasan, khususnya di Gaza.

“Tatkala kıta laungkan semarak takbir Aidil Adha menyemai inti maksud kalimah Allahu Akbar, kita juga tidak akan lepas dari ikhtiar membantu saudara kita berkorban mempertahankan kota dan wilayahnya, dan pada masa yang sama terus dicengkam penderitaan khususnya di Gaza dan saudara kita yang lain,” katanya.

Beliau turut mendoakan keselamatan dan kekuatan buat seluruh umat Islam yang menunaikan ibadah haji serta seluruh rakyat Malaysia dalam menempuh cabaran masa kini.

Sementara itu Anwar menekankan nilai pengorbanan dan hikmah dakwah yang diwarisi daripada kisah Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s sebagai teladan utama umat Islam dalam memperkukuh keimanan dan akhlak.

Menurut beliau, kemuliaan Hari Raya Aidiladha tidak dapat dipisahkan daripada kisah inspiratif dua tokoh kenabian itu yang menunjukkan ketaatan mutlak kepada perintah Allah SWT, sekali gus menjadi lambang pengorbanan sejati.

“Selain ibrah pengorbanan seorang bapa dan Rasul, kisah Nabi Ibrahim a.s juga sarat dengan legasi kenabian pejuang kebenaran membawa mesej hikmah dan pesan pendidikan kenabian yang mewariskan model dakwah berorientasikan budaya wacana yang sihat dan segar,” katanya.

Beliau menambah bahawa pendekatan Nabi Ibrahim yang tidak sekadar berpidato secara monolog tetapi memilih jalan dialog dan hujah yang rasional, wajar dijadikan asas membina masyarakat yang cerdas dan berdisiplin tinggi.

BACA JUGA Payung Besar Mahathir, nafsu orang tua tetapi tidak mampu