Hadi beri bayangan akan berundur, siapa bakal ganti

Presiden Pas Tan Sri Hadi Awang telah memberi bayangan bahawa beliau akan berundur dari jawatannya berdasarkan faktor kesihatan.

Ekoran itu pensyarah Universiti Malaysia Terengganu Yusri Ibrahim melontarkan persoalan sama ada kepimpinan parti tersebut perlu kekal di tangan ulama atau professional apabila Pas mengadakan sidang muktamarnya pada bulan September.

“Adakah presiden Pas perlu kekal daripada jalur ulama, atau figura profesional contohnya Dr Ahmad Samsuri (Mokhtar) sesuai untuk jawatan tersebut?” soal Yusri.

Pertembungan di antara golongan ulama dan professional bukanlah sesuatu yang asing untuk Pas.

Pertembungan pada tahun 2015 membawa kepada penubuhan AMANAH.

Meskipun pemilihan parti hanya akan berlaku pada bulan September, beberapa tokoh dari kumpulan ulama sudahpun memberikan amaran dalam bentuk gelaran terhadap kumpulan professional.

Mantan ketua Dewan Ulama Pas Pahang Mokhtar Senik menggelar kumpulan lawan sebagai lanun dari dalam Pas manakala seorang lagi Ahmad Dasuki Rani mendakwa ‘kepimpinan ulama ini akan sering diganggu oleh syaitan-syaitan di kalangan manusia dan jin’.

Penyandang timbalan presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak dilihat sebagai berwibawa untuk memacu kumpulan ulama di dalam pertandingan ini kerana beliau hanya mempunyai sarjana dalam bidang dakwah yang diperoleh dari UKM.

Dalam kalangan naib presiden, ada tiga pemimpin. Samsuri dari kumpulan professional manakala Datuk Idris Ahmad dan Datuk Nik Mohamad Amar mempunyai latar belakang pendidikan agama.

BACA JUGA: Sebelum ini ‘jebon’ kini ‘lanun dan syaitan’ pula sedang ganggu kepimpinan ulamak Pas