PDRM mulakan Op Lancar hari ini

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan Op Lancar bermula hari ini sehingga 9 Jun sempena Aidiladha untuk memastikan kelancaran trafik.

Seramai 11,858 pegawai dan anggota ditugaskan di lokasi panas seluruh negara, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

“Penugasan ini akan tertumpu di kawasan-kawasan hotspot yang dijangka mengalami kesesakan lalu lintas berikutan pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan kembali semula selepas tamat musim perayaan.

“Seluruh jentera JSPT akan digerakkan secara holistik dan bersistematik untuk mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri serta jalan-jalan bandaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Semua pengguna jalan raya juga diseru supaya memainkan peranan sebagai pengguna jalan raya yang berhemah dengan mematuhi peraturan lalu lintas.

“Elakkan memotong barisan, menyalahgunakan lorong kecemasan atau meletakkan kenderaan sehingga menghalang laluan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan kemalangan,” katanya.

BACA JUGA: Petronas dijangka kurangkan 5,000 tenaga kerja