Buntu anak ketagih telefon? Ibu ini ada cara disiplinkan anaknya
Sesetengah ibu bapa nampaknya sudah hilang kawalan terhadap anak mereka yang masih bersekolah tetapi sudah ketagih tidak boleh berenggang dengan telefon bimbit.
Seorang wanita berkongsikan caranya mendisiplinkan anak beliau dengan menetapkan peraturan hanya hujung minggu boleh menggunakan telefon.
Naz Nazirul Muzammil berkata, anaknya tidak dibenarkan ‘bermain’ telefon sepanjang hari bekerja.
“TV hanya boleh tonton selepas kerja sekolah dah siap. Terhad satu jam. Tapi kalau bapak nak tengok TV, kena ikut bapak.
“Telefon hanya boleh main on weekend tapi dengan syarat kena gotong-royong 5S (sisih, susun, sapu, seragam, sentiasa amal) rumah.
“Tandas kena cuci, bilik kena kemas, ruang tamu dan ruang makan kena bersih, kena sapu dan vakum seluruh rumah. Baru boleh dapat phone atau tengok TV,” katanya menerusi hantaran yang tular di media sosial.
Helah dan ganjaran
Dalam masa sama, beliau juga menggunakan helah dengan memenuhkan hujung minggu anaknya dengan pelbagai aktiviti seperti menghantar mereka ke kelas seni, muzik dan silat.
Jadi, katanya, pada hujung minggu hanya tinggal satu hari sahaja bebas tanpa aktiviti.
Itupun, jelasnya, beliau akan mengajak anak-anaknya keluar sekaligus masa dengan telefon akan lagi kurang.
Selain itu, beliau turut menetapkan peraturan larangan penggunaan telefon di dalam bilik sebaliknya hanya dibenarkan di ruang tamu.
“Peraturan memang nampak tegas. Tapi kadang-kadang ada tolak-ansur jika anak ada melakukan sesuatu yang luar biasa pada hari itu.
Kadang-kadang beri ganjaran sebab berjaya tahan tidak main telefon dengan memberi makan sesuatu yang istimewa tetapi tidak semestinya mahal.
“Dapat makan aiskrim, dapat makan mi goreng, ayam goreng KFC pun seronok tak kira dah,” ujarnya.
Beliau juga sentiasa memastikan rotan sentiasa ada tergantung di bilik yang sebenarnya tidaklah kerap digunakan.
“Jarang guna tetapi bila buat gaya nak pi ambil rotan, anak dah takut dah.
“Biar nampak macam kejam, tapi yang bertanggungjawab nak jadi apa dengan anak-anak nanti adalah saya.
“Setakat sekarang, kalau saya jegil mata minta phone, mereka akan terus bagi.
“Sebab mereka tahu, kalau melawan sama ada phone tu akan bersepai, atau rotan akan melayang atau no phone + TV selama seminggu. Kalau berani, cubalah,” ujar Naz lagi.
BACA JUGA Lebih 70 terbunuh, ratusan lagi cedera serangan di Gaza hari kedua Aidiladha