Cemas dibadai angin lintang dan ribut petir, ini sebabnya menteri puji kru penerbangan

Cemas pesawat dinaiki dibadai angin lintang yang sangat kuat berserta ribut kencang.

Itu pengalaman dikongsikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke semasa menaiki pesawat AirAsia AK6047 dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur pada jam 10.45 malam tadi.

Beliau berkata, pesawat itu gagal mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana angin lintang dan ribut petir yang kuat.

“Ketika menghampiri landasan, angin lintang yang sangat kuat serta ribut menyebabkan juruterbang terpaksa membatalkan pendaratan.

“Kami berpusing di ruang udara KLIA sebelum pesawat dilencongkan ke Pulau Pinang bagi mengisi minyak,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anthony Loke bersama juruterbang, Kapten Teng Huah Jer serta Pembantu Pertama Bryan Alexander Yin Kian Yam.

Akibat cuaca buruk itu, Loke berkata, penerbangan yang sepatutnya hanya mengambil masa 50 minit bertukar menjadi hampir empat jam.

Menurutnya, sekurang-kurangnya lima penerbangan AirAsia lain turut terpaksa dilencongkan akibat keadaan cuaca ekstrem yang turut menjejaskan operasi penerbangan.

Walaupun begitu, beliau memuji tahap profesionalisme tinggi yang ditunjukkan juruterbang, Kapten Teng Huah Jer serta Pembantu Pertama Bryan Alexander Yin Kian Yam ketika mengendalikan situasi cemas itu.

“Kapten mengendalikan keadaan dengan amat baik melalui komunikasi tenang serta maklumat yang sentiasa dikemas kini kepada penumpang.

“Ini sangat penting dalam menenangkan semua pihak dalam situasi sebegini,” katanya.

Dalam masa sama, pemimpin DAP berkenaan juga merakamkan penghargaan kepada kru kabin yang diketuai Muhammad Asyraf Muhammad Nasrullah bersama Mandasari Nikita Florensia, Bagus Setyadi Nugroho dan Norjuniza Muhammad atas kecekapan serta empati tinggi sepanjang kejadian itu.

“Walaupun terpaksa bekerja lebih masa, kru masih mampu mengukir senyuman dan memohon maaf kepada setiap penumpang atas segala kesulitan.

“Mereka adalah contoh terbaik dalam industri penerbangan,” ujarnya.

Loke turut mengucapkan terima kasih kepada petugas darat, pengawal trafik udara serta semua kakitangan sokongan dari Senai, Pulau Pinang hingga ke KLIA.

Beliau menyifatkan kesemua mereka bertindak pantas dan cekap dalam memastikan semua penumpang pulang dengan selamat.

Pesawat akhirnya selamat mendarat di KLIA pada jam 2.40 pagi, dan sebagai tanda penghargaan kepada kru, Athony memilih untuk menjadi penumpang terakhir turun dari pesawat.

BACA JUGA ‘Dah berkuasa, siapa yang mereka nak payung sebenarnya?’