‘Dah berkuasa, siapa yang mereka nak payung sebenarnya?’

Aktivis politik, Liyana Marzuki menempelak agenda penyatuan bangsa menerusi simbol ‘payung besar’ yang disifatkan hanya melibatkan kepentingan Melayu dua peratus ‘kayangan’.

Menurutnya, golongan marhaen dalam keadaan baik-baik sahaja bergaul antara satu sama lain tanpa bersengketa.

“Baru-baru ini ada yang minta orang Melayu buat payung besar. Ramai yang tepuk dahi.

“Melayu marhaen di bawah, boleh saja makan sama-sama, duduk solat jemaah, kenduri-kendara. Tiada sengketa. Jiran tetangga dan keluarga majoritinya aman belaka.

“Yang bersengketa orang Melayu dua peratus kayangan di atas sana. Dari UMNO pecah ke Pas, ke Semangat 46. Pecah lagi ke PKR, Bersatu dan Pejuang.

“Tapi bila berkuasa, siapa yang mereka nak payung sebenarnya? Adakah Melayu marhaen seperti kita atau hanya kayangan-kayangan di atas sana?

“Tengok kan dinosaurs dan warlords yang ada dan bagaimana keluarga mereka. Adakah payung besar itu memberi makna?” soalnya.

Bekas Peguam Kanan Persekutuan dan Timbalan Pendakwa Raya AGC itu berkata, golongan Melayu marhaen sepatutnya tidak peduli tentang ‘payung besar’.

Pada 4 Jun lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan inisiatif untuk menggabungkan orang Melayu di bawah satu payung melalui Sekretariat Orang Melayu.

Mantan Perdana Menteri dua kali berkenaan dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana itu berkata, ‘payung besar’ tersebut kononnya dalam usaha ‘mengembalikan kuasa Melayu’.

Mengulas lanjut, Liyana berkata, sudah menjadi kelaziman perangai orang politik yang berpecah-pecah kemudian berkawan.

“Selagi mana kita ada Majlis Raja-Raja dan Perlembagaan yang rapi dan terjaga, kita harus sedar dan percaya, takkanlah pada orang politik saja yang boleh menyatukan kita?

“Pajak jiwa kepada negara. Bukan kepada parti dan pemimpin semata-mata,” katanya lagi.

BACA JUGA Anwar arah PDRM semak isu larangan terhadap Fahmi Reza