Anwar arah PDRM semak isu larangan terhadap Fahmi Reza

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara untuk menyemak isu larangan ke luar negara yang dikenakan terhadap artis grafik dan aktivis, Fahmi Reza.

Arahan tersebut tertera menerusi kenyataan Perdana Menteri hari ini.

“Kerajaan MADANI menjunjung tinggi kebebasan individu selagi mana ia tidak menjejaskan keselamatan negara atau melanggar undang-undang sedia ada,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut.

“Pejabat Perdana Menteri akan terus memantau perkembangan ini dengan sewajarnya,” menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, kerajaan perlu menjelaskan mengapa larangan tindakan untuk keluar negara dikenakan terhadap Fahmi jika benar dakwaan artis grafik satira itu.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP berkata, larangan tersebut tidak diperlukan kerana Fahmi bukanlah seorang yang tergolong dalam risiko melarikan diri (flight risk).

Peguam itu juga berkata, Fahmi masih boleh ke luar negara semasa disiasat dan didakwa atas kesalahan-kesalahan sebelum ini.

Semalam, Fahmi berkata dia dihalang di KLIA2 ketika cuba menaiki penerbangan ke Singapura untuk menghadiri konsert punk rock.

Aktivis yang sohor dengan ilustrasi politik itu mendakwa dia telah disenaraihitamkan dan dilarang keluar negara.

BACA JUGA Dakwaan Fahmi Reza dilarang keluar Malaysia mesti diperjelas