Dakwaan Fahmi Reza dilarang keluar Malaysia mesti diperjelas
Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengesahkan dakwaan artis grafik dan aktivis, Fahmi Reza yang dia telah dilarang untuk keluar negara.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, jika dakwaan itu benar, kerajaan perlu menjelaskan mengapa tindakan tersebut diambil.
Beliau berpendapat larangan tersebut tidak diperlukan kerana Fahmi bukanlah seorang yang tergolong dalam risiko melarikan diri (flight risk).
“Sebelum ini, semasa Fahmi disiasat dan didakwa atas kesalahan-kesalahan dan saya mewakilinya sebagai peguam, beliau masih boleh ke luar negara.
“Dan setiap kali, beliau akan pulang dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa apabila diperlukan,” katanya.
Menerusi kenyataan pagi ini, Syahredzan yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP berkata, setakat ini masih belum ada apa-apa kenyataan balas tentang dakwaan Fahmi.
“Tindakan melarang seseorang individu untuk ke luar negara tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya, dan hanya boleh dilakukan dengan alasan-alasan yang kukuh.
“Saya menyeru kepada pihak berkuasa, termasuk pihak Kementerian Dalam Negeri sendiri, untuk mengesahkan dakwaan Fahmi Reza ini, dan sekiranya benar, menjelaskan mengapa tindakan ini diambil,” kata beliau lagi.

Semalam, Fahmi berkata dia dihalang di KLIA2 ketika cuba menaiki penerbangan ke Singapura untuk menghadiri konsert punk rock.
Aktivis yang sohor dengan ilustrasi politik itu mendakwa dia telah disenaraihitamkan dan dilarang keluar negara.
BACA JUGA Buntu anak ketagih telefon? Ibu ini ada cara disiplinkan anaknya