Geng Ustaz nak langgar Geng Publika dalam Pas?
Seorang penganalisis politik mendakwa wujud pertembungan antara dua proksi utama dalam Pas untuk memilih barisan kepimpinan sehingga muncul gelaran Geng Ustaz dan Geng Publika.
Pensyarah Program Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, krisis dalam Pas kali ini dilihat sekadar mengulangi skrip muktamar 2015 lalu.
Menurutnya, ada yang menamakan pertembungan blok dalam Pas menjelang muktamar parti itu pada September depan antara kelompok konservatif dan progresif atau kumpulan ulama dan profesional.
“Ada juga yang menggelar sebagai pertembungan Geng Ustaz dan Geng Publika.
“Seperti episod-episod sebelum ini, pertembungan 2025 ini juga tentang kumpulan profesional diserang kerana didakwa ingin merampas tampuk kepimpinan tertinggi parti.
“Jalan cerita yang sama, cuma berbeza pada wataknya,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Untuk rekod, perpecahan dalam Pas dengan wujudnya kem Geng Ustaz dan Geng Publika telah diperkatakan sejak beberapa tahun lalu.
Geng Publika dikatakan cuba mencabar kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas.
Antara nama yang dikaitkan dengan ‘Geng Publika’ yang didakwa mahu melanggar kepimpinan ulama Pas ialah Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Muhammad Sanusi.
Mereka diberi gelaran “Publika” kerana sering dikaitkan dengan pertemuan di kawasan Publika, Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Yusri berkata, label-label baharu seperti HooSAM 2.0, Jebon 2.0, Taksubiyyun Dr Sam dan sebagainya mula keluar.
Malah, jelasnya, terdapat label-label lain lebih teruk yang kurang sesuai ditulis.
“Label-label tersebut adalah kitaran skrip Jebon, Anwarinas, Geng Erdogan, Munafiq Haraki dan sebagainya yang pernah masyhur dalam edisi lepas,” katanya.
Beliau berkata, jika sebelum ini Sanusi dianggap sebagai wira melanggar Pakatan Harapan (PH) tetapi dalam plot menjelang Muktamar Pas pada September ini, Menteri Besar Kedah berkenaan dilihat sebagai pembawa angkara, termasuk dakwaan menggerakkan agenda Langkah Kedah.
“Jika sebelum ini hobi menyanyi beliau (Sanusi) dipuji dan dipertahan, sekarang beliau mula dilabel sebagai orang besaq yang suka berkaraoke, dengan konotasi mengejek dan menganjing,” ujarnya.
Fokus kemarahan
Yusri berkata, hal yang sama juga dihadapi Samsuri apabila Menteri Besar Terengganu itu antara yang dijadikan sasaran fokus kemarahan oleh kelompok jalur agama dalam Pas sekarang.
Berbanding sebelum ini, Samsuri dianggap sebagai tokoh hebat dalam Pas sehingga dimomok sebagai bakal Perdana Menteri dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2023.
“Takiyuddin juga tidak terkecuali. Beliau didakwa sebagai individu yang memainkan peranan untuk mengangkat figura profesional sebagai kepimpinan tertinggi parti.
“Bahkan, sekarang beliau mula disalahkan kerana didakwa mengemukakan usul (pada waktu Maghrib?) dalam muktamar di Pahang sebelum ini yang meluluskan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) boleh turut mengundi dalam muktamar,” katanya.
Beliau berpendapat mungkin wujud kebimbangan perwakilan DHPP akan berpihak kepada kelompok profesional dalam undian nanti.
“Inilah kronologi yang sedang berlaku dalam Pas menjelang muktamar September nanti.
“Kronologi ini semakin panas apabila ada ura-ura Abdul Hadi bercadang untuk berundur sebagai presiden,” kata Yusri lagi.
BACA JUGA Dakwaan Fahmi Reza dilarang keluar Malaysia mesti diperjelas