‘Ada watak tertentu berselindung di belakang nama-nama menteri mereka’
Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menasihatkan supaya tindakan mengheret penjawat awam bagi tujuan intimidasi hanya kerana perbezaan pendapat dihentikan serta-merta.
Ahli Parlimen Pandan itu mendedahkan beliau telah menerima aduan-aduan daripada orang awam yang telah diambil tindakan yang berbeza-beza susulan komentar dan pandangan mereka mengenai Pemilihan PKR bulan lalu.
Menurutnya, tindakan-tindakan tersebut termasuklah aduan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada platform X bahawa kandungan telah melanggar undang-undang negara.
Turut diadukan kepada Rafizi adanya pegawai SKMM dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengunjungi Orang Kena Adu (OKA) dengan alasan ingin berjumpa, tanpa sebarang dokumen rasmi.
“Pegawai SKMM mengeluarkan notis kepada OKA untuk siasatan; dan/atau telefon pintar dan kad SIM OKA dirampas untuk siasatan.,” jelas Rafizi menerusi kenyataan hari ini.
Beliau bagaimanapun percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil tidak memberikan arahan agar orang awam yang terbabit dikenakan tindakan.
“Kemungkinannya, ada watak-watak tertentu yang berselindung di belakang nama-nama menteri mereka, yang memberi arahan kepada SKMM atau PDRM untuk menekan orang awam, hanya kerana pandangan mereka mengenai pemilihan PKR 2025 tidak sealiran dengan pandangan watak-watak ini,” katanya.
Rafizi dalam masa sama telah pun berbincang dengan sejumlah peguam sukarela yang akan mewakili orang awam yang dikenakan intimidasi seperti yang diadukan kepadanya.
“Jika ada pelanggaran peraturan atau undang-undang, orang awam yang menjadi mangsa intimidasi seperti ini akan dinasihati untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya,” katanya.
Justeru, beliau menasihati pimpinan politik yang diberi amanah untuk mentadbir kementerian masing-masing supaya tidak mencampur aduk pandangan politik dengan urusan rasmi kerajaan.
“Saya juga menasihati penjawat-penjawat awam supaya tidak terheret dan tunduk kepada tekanan pihak-pihak tertentu yang mencampur aduk tanggungjawab harian sebagai penjawat awam, dengan tindakan politik seperti ini,” katanya lagi.
BACA JUGA Isu Fahmi Reza: Wujud kecuaian, pencabulan terhadap kebebasan