Isu Fahmi Reza: Wujud kecuaian, pencabulan terhadap kebebasan

Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man menyifatkan tindakan terhadap aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza jelas menunjukkan berlakunya kecuaian dan ketidakaturan serius dalam pelaksanaan prosedur.

Beliau yang juga Naib Ketua AMK berkata, realitinya Fahmi tetap telah disekat secara fizikal daripada ke luar negara.

“Insiden sebegini memberi kesan langsung kepada hak kebebasan individu, dan merupakan pencabulan terhadap kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Saya berpandangan bahawa insiden ini mungkin melibatkan pelanggaran kuasa (ultra vires), dan oleh itu satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan, termasuk kemungkinan wujudnya unsur sabotaj atau penyalahgunaan kuasa,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Chiew Choon Man

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menjelaskan bahawa larangan ke luar negara terhadap Fahmi pada 7 Jun lalu berpunca daripada “kekeliruan semasa proses semakan”.

Mengulas lanjut, Choon Man berkata, insiden tersebut sebagai perkara yang amat serius dan tidak boleh dianggap remeh.

“Kita menghormati peranan institusi penguatkuasaan, namun kepercayaan rakyat hanya dapat dipelihara jika institusi ini terus mengamalkan ketelusan, akauntabiliti dan ketersediaan untuk memperbaiki kelemahan prosedur sedia ada.

“Dalam hal ini, saya menghargai kesediaan dan keterbukaan Ketua Polis Negara untuk menyiasat insiden ini secara serius, serta mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memperkemas prosedur sedia ada,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan mekanisme pampasan wajar kepada individu yang menjadi mangsa kecuaian prosedur, sebagai langkah menghormati hak mereka yang telah dinafikan secara tidak sah.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya akan terus bersuara untuk mempertahankan hak asasi semua rakyat – tanpa mengira latar belakang atau pegangan politik – agar kebebasan mereka sentiasa dilindungi dalam kerangka demokrasi yang adil dan berfungsi,” kata Choon Man lagi.

BACA JUGA Pemuda PH gesa CEO Petronas potong gaji sendiri, elaun barisan lembaga Pengarah