Anwar, Wan Azizah dukacita 15 pelajar UPSI terkorban dalam kemalangan
Seramai 15 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) maut dalam satu kemalangan selepas sebuah bas yang membawa kumpulan itu terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan Perodua Alza awal pagi tadi.
Kejadian berlaku di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi.
Menurut laporan media tempatan, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 1.10 pagi apabila pihak Hospital Gerik memaklumkan tentang kemalangan jalan raya berimpak tinggi di kawasan berkenaan.
Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah menzahirkan rasa dukacita dengan perkhabaran tragis tersebut.
“Takziah kepada semua keluarga mangsa. Kami mendoakan agar kalian diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini,” titipnya dalam satu hantaran di Facebook sebentar tadi.
Beliau turut mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menyelaras bantuan sewajarnya buat keluarga mangsa.
“Musibah menyayat hati sebegini yang sering kali berulang seharusnya menjadi pengajaran buat semua agar sentiasa berhati-hati dan usah terburu-buru mengejar destinasi. Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang ganti,” ujarnya lagi.
BACA JUGA ‘Saya rujuk A, beliau jawab Z’ – Armizan balas sinis Ka Siong silap rujuk undang-undang