Elaun mobiliti RM1,000 tunjuk keseriusan Putrajaya bantu pekerja mula hidup baru
OLEH A. ZAHID
Dalam suasana pasca-pandemik yang memperlihatkan struktur pasaran kerja berubah dengan begitu drastik, pengumuman terkini oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengenai elaun mobiliti sehingga RM1,000 menandakan satu pendekatan dasar yang lebih progresif dan manusiawi.
Inisiatif ini bukan sahaja memperkasa golongan pekerja, malah menyentuh aspek mobiliti sosial dan ekonomi yang sering menjadi kekangan dalam pasaran buruh negara.
Ramai yang tidak menyedari bahawa salah satu halangan terbesar dalam mendapatkan pekerjaan ialah kos berpindah, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, Sabah, atau Sarawak dan ingin bekerja di pusat-pusat ekonomi utama seperti Lembah Klang.
Kos pengangkutan, deposit rumah sewa, dan perbelanjaan permulaan sering kali melenyapkan peluang sebelum ia sempat bermula.
Dengan adanya elaun mobiliti ini, pekerja bukan sahaja diberikan bantuan untuk berpindah secara fizikal ke lokasi pekerjaan baharu, tetapi juga dihantar isyarat bahawa kerajaan memahami realiti hidup rakyat biasa.
Bagi seorang graduan di Kota Bharu yang mendapat tawaran pekerjaan di Subang Jaya, misalnya, insentif ini boleh menjadi faktor penentu antara menerima pekerjaan itu atau terus menganggur.
Apa yang lebih mengujakan ialah elaun mobiliti ini bukan diperkenalkan secara terpisah, tetapi sebahagian daripada penambahbaikan menyeluruh kepada skim perlindungan pekerjaan di bawah PERKESO.
Sebelum ini, kita sudah menyaksikan pelaksanaan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) dan Elaun Latihan, tetapi kini skim ini semakin lengkap dengan tambahan Elaun Mobiliti.
Ia memberi gambaran bahawa dasar buruh Malaysia semakin menyerupai model-model kesejahteraan moden seperti di Eropah Utara, bersifat responsif, menyeluruh dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.
Dalam nada yang sama, kita harus juga mengakui sumbangan Steven Sim dalam memperkukuh asas dasar gaji negara.
Ramai yang terlepas pandang bahawa kenaikan gaji minimum sebelum ini sebenarnya memberi manfaat besar kepada pekerja tempatan, bukan seperti yang sering dicanangkan oleh sesetengah pihak bahawa ia hanya menguntungkan pekerja asing.
Malah, data menunjukkan bahawa lebih 80% penerima kenaikan gaji minimum adalah rakyat Malaysia sendiri.
Tambahan pula, dengan pelaksanaan garis panduan gaji dan peningkatan dalam latihan kemahiran, dasar-dasar ini menyumbang kepada peningkatan median upah bulanan negara yang kini telah melepasi RM3,000, suatu pencapaian bersejarah yang jarang dibincangkan dengan serius dalam wacana awam.
Apa yang kita lihat hari ini ialah wajah baru dasar pekerjaan negara: ia lebih berani, lebih adil, dan lebih berjiwa rakyat.
Steven Sim membuktikan bahawa reformasi bukan sekadar slogan, tetapi mampu dilaksanakan secara bertahap dan berimpak besar jika disokong dengan tekad politik dan kefahaman mendalam terhadap isu pekerja.
Persoalannya sekarang: Adakah ahli-ahli Parlimen lain cukup matang untuk menyokong Rang Undang-undang ini tanpa menjerutnya dengan permainan politik murahan?
Kerana pada akhirnya, elaun mobiliti ini bukan tentang wang semata-mata, ia tentang harapan, keadilan dan peluang yang lebih saksama untuk semua rakyat Malaysia.
BACA JUGA Cerita dari bomba..ada pelajar tercampak, ada keluar sendiri, ada masih dalam bas