Cerita dari bomba..ada pelajar tercampak, ada keluar sendiri, ada masih dalam bas
Pasukan bomba yang ditugaskan dalam operasi menyelamat susulan kemalangan sebuah bas persiaran yang membawa puluhan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, mendedahkan situasi tragis yang mereka saksikan sebaik tiba di lokasi kejadian.
Menurut kenyataan, pasukan bomba mendapati ada mangsa yang berjaya keluar dengan sendiri, ada mangsa yang tercampak keluar dan ada mangsa yang masih berada di dalam bas.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, jentera bomba tiba di tempat kejadian pada jam 2.05 pagi dan melihat sendiri bas dalam keadaan terbalik.
Sementara sebuah kereta jenis Perodua Alza pula terbabas ke dalam parit
“Bas dan Perodua Alza di laluan sama iaitu dari Jeli ke Gerik. Semasa jentera sampai didapati kemalangan membabitkan mangsa seramai 48 orang.
“Terdapat mangsa yang berjaya keluar dengan sendiri, ada mangsa yang tercampak keluar dan ada mangsa yang masih berada di dalam bas.
“Setakat ini, 13 mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala 31 orang cedera (mangsa dari bas) dan tiga mangsa mengalami kecederaan ringan dan seorang mangsa mengalami patah tangan (dari Perodua Alza) dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ketua operasi melakukan ‘size up’ dan mengaplikasikan konsep ‘saver’ dengan mengarahkan anggota membuat pemotongan pada bahagian belakang bas untuk membuat ruang kerja dengan menggunakan peralatan khas.
“Apabila ruang kerja berjaya dilakukan didapati enam mangsa masih berada di dalam bas, di mana dua mangsa parah dan empat mangsa didapati meninggal dunia dan tidak tersepit.
“Seterusnya tindakan penyelamatan dilakukan oleh bomba dengan menstabilkan mangsa yang cedera dan membawa mereka keluar dari dalam bas dan diserahkan kepada pihak KKM,” katanya.
BACA JUGA Sah 15 pelajar terkorban, hantaran Facebook ‘UPSI berduka’ runtun hati
BACA JUGA Anwar, Wan Azizah dukacita 15 pelajar UPSI terkorban dalam kemalangan