Pemuda PH gesa CEO Petronas potong gaji sendiri, elaun barisan lembaga Pengarah
Angkatan Muda Harapan (AMH) hari ini menggesa Lembaga Pengarah dan barisan pengurusan tertinggi Petronas memotong gaji, bonus dan elaun mereka susulan langkah syarikat minyak dan gas negara itu memberhentikan ribuan pekerja.
Ketua Penerangannya, Ammar Atan berkata, langkah menamatkan perkhidmatan pekerja bawahan demi menjamin kelangsungan operasi tidak wajar dilaksanakan selagi tiada pengorbanan ditunjukkan oleh pihak pengurusan tertinggi.
Justeru beliau menggesa Tan Sri Tengku Muhammad Taufik mengumumkan segera pelan untuk memotong gaji dan bonus tahunan dirinya selaku Ketua Pegawai Eksekutif dan sembilan lagi ahli barisan kepimpinan eksekutif Petronas.
“AMH tidak menolak keperluan Petronas mengambil keputusan sukar. Namun beban menjamin kelangsungan operasi harus dikongsi bersama termasuk oleh Lembaga Pengarah dan barisan pengurusan tertinggi yang diketuai Tan Sri Tengku Muhammad Taufik.
“Elaun Lembaga Pengarah juga harus dinilai semula selaras dengan potensi prestasi kewangan Petronas,” katanya dalam satu kenyataan media.
AMH turut mempersoalkan keperluan syarikat minyak itu meneruskan perbelanjaan jutaan ringgit untuk tajaan korporat ketika syarikat sedang bergelut dengan tekanan kos.
“Apa keperluan berbelanja jutaan ringgit untuk tajaan tatkala Petronas terpaksa membuang pekerja bawahan?” soal Ammar.
Menurut beliau, isu itu bukan semata-mata melibatkan status pekerja kontrak atau tetap, tetapi adalah soal keadilan dan perkongsian tanggungjawab.
“Selagi semua ini tidak dijelaskan kepada umum, khususnya gaji dan bonus pimpinan tertinggi, AMH berpendapat bahawa tindakan ‘right-sizing’ tenaga kerja Petronas tidak harus dilaksanakan,” tegasnya.
Dalam pada itu, AMH turut menggesa agar sebarang pertikaian antara Petronas dan Petros serta Kerajaan Sarawak diselesaikan segera bagi mengelakkan kemerosotan drastik terhadap operasi dan kedudukan Petronas.
NACA JUGA Siasatan awal polis dedah bas bawa pelajar UPSI langgar belakang Alza