Nahas pelajar UPSI: MSOSH gesa wajibkan takograf, sistem GPS

Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) menggesa kerajaan mewajibkan secara undang-undang penggunaan takograf pada kenderaan komersial seperti lori dan bas.

Presiden MSOSH, Ahmad Fakhrul Anuar Ismail berkata, pemantauan digital juga dapat dilakukan dengan mewajibkan penggunaan sistem GPS dan data masa nyata bagi menangani kadar kemalangan.

Untuk rekod, pemasangan takograf yang berfungsi merakam masa pemanduan dan rehat tidak diwajibkan pada setiap kenderaan komersial pada masa ini.

Sistem GPS yang boleh diaudit pula dapat memantau kelajuan dan laluan sebenar kenderaan berat.

Dalam masa sama, MSOSH mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar di semua tempat duduk bas melalui pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Khusus untuk pihak organisasi atau universiti, Ahmad Fakhrul menasihatkan agar mengelak perjalanan malam bagi laluan berisiko tinggi seperti Jalan Raya Timur-Barat (JRTB).

Selain itu, katanya, pilih bas persiaran yang mempunyai rekod penyelenggaraan sah dan lengkap serta pastikan semua pemandu memiliki lesen sah dan insurans kelompok.

Selain itu, katanya, pilih bas persiaran yang mempunyai rekod penyelenggaraan sah dan lengkap serta pastikan semua pemandu memiliki lesen sah dan insurans kelompok.

Awal pagi tadi, 15 pelajar terkorban dalam kemalangan membabitkan sebuah bas pelajar dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Seramai 33 pelajar lagi cedera dengan tujuh daripadanya dirawat di zon merah.

Bas persiaran itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke kampus utama UPSI di Tanjung Malim.

BACA JUGA Sampai bila kenderaan berat jadi ‘pembunuh’ di jalan raya?