Tuduhan zina jangan jadi bahan jenaka

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan orang ramai bahawa qazaf iaitu tuduhan zina tanpa mengemukakan empat orang saksi yang adil merupakan dosa besar yang menggugat maruah dan maslahah ummah.

Menurut kenyataan pejabat itu, Islam menetapkan hukuman yang berat bagi kesalahan qazaf.

“Perkara-perkara yang melibatkan tuduhan zina dan seumpamanya juga tidak wajar untuk dijadikan bahan jenaka, dan boleh membawa kepada berlakunya qazaf.

“Hal seperti ini akan menjejaskan keamanan masyarakat, bahkan akan menyebabkan ketakutan masyarakat luar terhadap negara yang jelas bertentangan dengan maqasid dalam menjaga keamanan yang dituntut oleh Islam,” katanya.

Malangnya hari ini, kata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat segelintir masyarakat yang mengambil mudah mengenai perkara tersebut lantas dengan mudah melontarkan tuduhan demi tuduhan untuk menjatuhkan seseorang.

“Perbuatan sebegini jelas ditegah oleh Islam yang menjaga kemaslahatan manusia.

“Secara umum terutamanya pada aspek penjagaan maruah (ḥifẓ al-‘irḍ).

“Tuduhan palsu tanpa bukti boleh memecah-belahkan masyarakat, merosakkan institusi kekeluargaan dan menghilangkan kepercayaan terhadap sistem keadilan Islam,” katanya.

Sehubungan itu, bagi mengekang perbuatan qazaf, undang-undang Syariah Malaysia menetapkan peruntukan yang jelas seperti terdapat dalam seksyen 41, Akta kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559).

BACA JUGA Tular rakaman bas dipandu laju memotong kenderaan lain dekat selekoh