Tular rakaman bas dipandu laju memotong kenderaan lain dekat selekoh

Tular kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang turut berada di lokasi ketika nahas bas yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), awal pagi tadi.

Rakaman video berdurasi 38 saat itu memaparkan bas persiaran itu dilihat sedang bergerak laju serta cuba memotong kenderaan lain ketika menghampiri selekoh.

Akibatnya, bas itu hilang kawalan lalu terbalik di atas pembahagi jalan hanya beberapa meter di hadapan kenderaan yang merakam kejadian itu.

@penduduksgpetani01

Video dashcam yang sempat merakam bas persiaran yang membawa pelajar UPSI terlibat kemalangan awal pagi tadi. .

♬ Very Sad – Enchan

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Noordin, pemilik kamera papan pemuka berkenaan sudah tampil membantu siasatan.

Beliau berkata, keterangan pemilik rakaman ‘dashcam’ itu dijangka dapat memberi bukti penting dalam usaha mengenal pasti punca tragedi berkenaan.

Jelasnya, rakaman itu dapat membantu usaha mengenal pasti beberapa perkara utama, termasuk kadar kelajuan bas terbabit dan keadaan jalan raya ketika kejadian.

“Adalah jelas bahawa semua boleh melihat bagaimana bas itu bergerak laju (berdasarkan rakaman) dan lebih memburukkan lagi keadaan, besi penghadang jalan menembusi terus badan bas terbabit dari hadapan.

“Sebab itulah penumpang duduk di bahagian kiri bas berkenaan adalah mangsa yang terkorban, kerana ia menembusi terus ke kerusi penumpang terbabit.

“Kebanyakan penumpang yang cedera pula mengalami kecederaan pada bahu kiri selepas tercampak dari bahagian kanan bas ketika kenderaan itu terbalik,” katanya, dipetik BH.

BACA JUGA Nahas pelajar UPSI: MSOSH gesa wajibkan takograf, sistem GPS