Pelajar berkali-kali rayu pemandu bas jangan bawa laju tapi tak diendah
Salah sorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan awal pagi semalam mendakwa dia sudah pun meminta pemandu bas tidak membawa kenderaan secara laju, namun permintaannya tidak diendahkan.
Pendedahan itu dikongsikan sendiri oleh mangsa, Lili Suzana Mat Yaakob, 23, kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang melawatnya tadi.
Lili antara penuntut UPSI yang terselamat dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Menurut Noraini, Lili Suzana telah memberi amaran bahawa bas dipandu terlalu laju.
“Dia (Lili Suzana) berkata pemandu memandu laju dan dia menegur pemandu berkali-kali supaya tidak memandu dengan laju.
“Dia masih trauma. Dalam situasi sebegitu, sesiapa pun pasti akan trauma, apatah lagi apabila kenderaan terbalik.
“Kita dapat lihat kesan trauma itu dengan jelas, jadi kita tawarkan khidmat kaunseling kepada mangsa dan juga ahli keluarga mereka,” kata Noraini kepada media.
BACA JUGA Polis sahkan pemandu bas ada 18 saman termasuk rekod pandu laju