Pemandu bas kemalangan maut akan direman selepas sembuh

Pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Gerik, yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), akan direman sebaik sahaja dibenarkan keluar dari hospital.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin memaklumkan bahawa lelaki berusia 40 tahun itu masih menerima rawatan di Hospital Taiping akibat kecederaan yang dialaminya dalam insiden berkenaan.

“Pemandu bas tersebut masih dirawat ketika ini. Siasatan lanjut hanya akan dijalankan selepas beliau dibenarkan keluar dari hospital,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Dalam satu sidang media terdahulu, Noor Hisam memaklumkan bahawa pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berhubung kemalangan tersebut.

Beliau turut menjelaskan bahawa siasatan menyeluruh sedang dilakukan melibatkan pelbagai aspek, termasuk dakwaan bahawa bas berkenaan dipandu melebihi had laju.

Kemalangan yang berlaku sekitar jam 1 pagi Isnin itu mengorbankan 15 pelajar, manakala 27 yang lain mengalami kecederaan. Pemandu bas serta kelindannya yang berusia 54 tahun turut cedera dalam kejadian tersebut.

Siasatan awal mendapati bas yang dalam perjalanan dari Terengganu menuju ke Kampus UPSI di Tanjung Malim telah melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza sebelum hilang kawalan dan terbalik setelah merempuh pembahagi jalan.

BACA JUGA: Nahas pelajar UPSI: MSOSH gesa wajibkan takograf, sistem GPS