‘Pemuda Pas Selangor jahil atau pembela golongan mahakaya?’
AMK Klang menyoal sama ada Pemuda Pas Selangor jahil atau merupakan pembela golongan mahakaya dalam isu gas petroleum cecair (LPG).
“Kenyataan Pemuda PAS Selangor jelas membuktikan dua kemungkinan, sama ada mereka jahil terhadap fakta sebenar dasar subsidi, atau mereka kini menjadi pembela kepada kelompok elit yang selama ini menikmati subsidi secara tidak adil.
“Persoalannya, siapa sebenarnya yang mereka perjuangkan? rakyat marhaen atau golongan mahakaya?” kata ketuanya, Mohamad Shahrul Adnan.
“Cadangan agar subsidi LPG dikembalikan sepenuhnya adalah tidak masuk akal dan tidak bertanggungjawab. Ia bukan sahaja membebankan kewangan negara, malah membuka ruang kepada ketirisan, penyeludupan dan penyalahgunaan seperti yang berlaku sebelum ini.”
Semalam Pemuda Pas Selangor mendesak agar larangan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ditarik balik dan subsidi dikembalikan
Ketuanya Mohamed Sukri Omar mendakwa kerajaan tidak konsisten dalam pelaksanaan larangan hingga menyebabkan kesengsaraan kepada pengusaha.
Shahrul turut menyeru Pemuda Pas Selangor agar tidak menjadi ejen propaganda golongan elit.
“AMK Klang menyeru Pemuda PAS Selangor berhenti menjadi ejen propaganda golongan elit dan sebaliknya menyokong dasar-dasar yang membantu rakyat terbanyak. Jangan terus menipu rakyat dengan retorik populis yang tidak berpijak pada realiti dunia sebenar.”
Shahrul turut menerangkan bahawa subsidi LPG masih disalurkan secara tersasar kepada golongan yang memerlukan.
“Yang dihentikan ialah subsidi kepada syarikat besar, restoran mewah, industri perkilangan dan golongan mahakaya yang sebelum ini turut menumpang subsidi rakyat marhaen.
“Pada 29 Mei 2025, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberikan penjelasan rasmi berhubung polisi subsidi LPG dan memperjelas bahawa subsidi akan terus disasarkan kepada pengguna domestik dan peniaga kecil, manakala tong gas komersial ‘ungu’ tidak lagi disubsidi.”
BACA JUGA: Tak habis-habis pasal Anwar, serangan terbaharu Tun M menuai cemuhan