Tak habis-habis pasal Anwar, serangan terbaharu Tun M menuai cemuhan
Serangan terbaharu Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan cemuhan warganet ketika Malaysia masih berdukacita dengan kemalangan ngeri yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Menerusi ciapan di platform X pagi tadi, Mahathir membangkitkan isu imuniti yang dikaitkan dengan Perdana Menteri.
Menurutnya, Anwar cuba mengelak daripada dihadapkan ke mahkamah dengan dakwaan bahawa Perlembagaan memperuntukkan immuniti atau kekebalan bagi Perdana Menteri.
Malah, Mahathir menganggap Anwar sudah tahu dirinya bersalah susulan tindakan Menteri Kewangan berkenaan mengemukakan permohonan luar biasa untuk mendapatkan imuniti undang-undang daripada saman sivil.
“Datuk Seri Anwar cuba elak. Kenapa cuba elak dari dibicara di mahkamah? Kerana Datuk Seri Anwar tahu dirinya akan didapati bersalah.
“Kalau tetap menang, tentulah lebih baik jika mahkamah mendapati dirinya tidak bersalah,” dakwa Mahathir.
Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tersebut juga secara sinis berkata, kes lain pun selepas ini boleh dapat imuniti jika permohonan Anwar itu diterima mahkamah.
“Kalau diberi immuniti berkenaan satu kes, tak akan kes lain tidak immune. Tentu immune punya. Jadi Perdana Menteri boleh bunuh orang pun okaylah,” ujarnya.
Pilih bulu
Mantan Perdana Menteri dua kali berkenaan dengan paling lama memegang jawatan itu selama 22 tahun mulai 1981 juga mendakwa pelaksanaan undang-undang di Malaysia sebagai “pilih bulu”.
“Bagi satu orang yang Mahkamah Tinggi sudah hukum salah, hukuman tidak dilaksana kerana konon menunggu keputusan rayuan (appeal).
“Apabila Mahkamah Rayuan juga mendapati ia salah, masih juga hukuman tidak dilaksana,” kata Mahathir.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi yang tewas teruk dan hilang deposit pada PRU-15 lalu itu turut mendakwa individu lain awal-awal lagi akan ditahan walaupun belum dibicarakan di mahkamah.
“Bagi orang lain sebelum pun dibicara di mahkamah, hanya semasa siasatan, mereka akan dimasuk dalam tahanan berbulan-bulan, harta dirampas, keluarga ditekan.
“Pendek kata, sebelum pun didapati bersalah sudah dihukum, didera. Itu bagi orang lain.
“Jelaslah, walaupun tertakluk kepada undang-undang yang sama tetapi pelaksanaan tidak sama,” kata Mahathir.
Walau bagaimanapun, beliau mengakui tertuduh dalam kes seperti membunuh atau mengedar dadah boleh dimasukkan dalam tahanan sementara siasatan dilakukan.
“Tetapi kerap juga kes yang tidak serius, dimasuk dalam tahanan juga. Kemudian dibebas tanpa sebab.
“Inilah reformasi yang dilaung, dijanji.
“Jelaslah, siapa kaki bohong,” tempelak Mahathir mengakhiri tulisannya tanpa menyebutkan siapa sebenarnya ‘kaki bohong’ itu.
Menjengah ke ruangan komentar, rata-rata mencemuh serangan terbaharu Mahathir terhadap Anwar selain mengingatkan tentang nahas ngeri membabitkan penuntut UPSI awal pagi semalam.
“Pengajaran yang diperoleh hari ini dari bekas PM kita: Dia je betul. Dialah hakim. Dia tahu serba- serbi.
“Bitter amat dengan Anwar Ibrahim.
“Tak habis-habis Anwar. Oh, lupa, best friend proksi semua dah kena raid. Tak tau nak pusing apa… apa namaaa…
“Terbaik Tun. Malaysia ni semua Tun punya. Tukar je lah nama negara kepada Mahathir Mohamad.
“Sekarang semua tengah sedih pasal (kemalangan membabitkan) bas (membawa penuntut) UPSI, tok,” demikian antara reaksi netizen.
BACA JUGA “Maafkan saya… Saya telah cuba segalanya” — Rintihan pemandu bas tragedi UPSI