Salmon, ‘king crab’, buah import antara kena SST 5 peratus mulai 1 Julai

Salmon, ‘king crab’, kod, cendawan truffle, buah-buahan import, essential oil, kain sutera dan jentera industri akan dikenakan cukai jualan sebanyak 5.0 peratus berkuatkuasa 1 Julai 2025.

Menurut Kementerian Kewangan, kadar itu susulan pelaksanaan semakan dan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

Ia bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak.

Beberapa barangan pilihan premium dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus seperti basikal lumba dan lukisan tangan antik, menurut Kementerian Kewangan.

Sementara barangan keperluan asas harian berkadar sifar peratus kekal bagi ayam, lembu, kambing, ikan, udang, sotong, sayuran, buah-buahan tempatan, beras, barli, oat, gandum, tepung, sardin tin, gula, garam, roti putih, pasta, bihun, mi, mi segera, susu, minyak masak, ubat, peranti perubatan, buku, jurnal, surat khabar dan makanan peliharaan.

Cukai jualan sifar peratus juga kekal bagi bahan asas pembinaan seperti simen, batu dan pasir serta input sektor pertanian seperti baja, racun, jentera pertanian dan penternakan.

Dalam satu kenyataan, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan komited untuk meneruskan pembaharuan di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Jelasnya, bagi memastikan rakyat terbanyak tidak terkesan daripada semakan semula SST, Kerajaan MADANI mengambil pendekatan yang bersasar untuk memastikan barangan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai.

Dalam masa sama, katanya, pelbagai kemudahan turut disediakan bagi mengurangkan kesan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

BACA JUGA Tuduhan zina jangan jadi bahan jenaka