Keputusan Najib untuk DNAA 20 Jun, representasi gugurkan tiga pertuduhan ditolak

Permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) bagi tiga tuduhan pengubahan wang haram dana syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM27 juta akan ditetapkan pada 20 Jun ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, K. Muniandy menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan kepada hakim bahawa Jabatan Peguam Negara menolak representasi itu yang diserahkan kepadanya pada 31 Julai 2023.

“Pihak kami akan meneruskan prosiding perbicaraan, namun kami memohon sedikit masa untuk menyediakan pernyataan saksi selain perlu mendapatkan 807 eksibit termasuk dokumen yang digunakan dalam kes SRC International Sdn Bhd berjumlah RM 42 juta yang dibicarakan di hadapan hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebelum ini”, katanya.

Pada 3 Februari 2019, Najib, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

BACA JUGA ‘Mati hina sebab berhutang PTPTN’, rupanya cikgu ini ada masalah mental