Sistem kewangan Islam tidak boleh terhenti hanya pembiayaan bebas riba
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sistem kewangan Islam tidak boleh terhenti sekadar menawarkan pembiayaan bebas riba.
Menurutnya, ekonomi Islam mesti tampil sebagai alternatif tuntas kepada sistem konvensional, dengan berteraskan nilai manusiawi, keadilan dan ihsan.
“Kesenjangan antara kaya dan miskin, masalah kemiskinan tegar dan isu keadilan sosial hanya boleh ditangani sekiranya sistem ekonomi dibina atas asas tatakelola yang baik serta dasar yang jelas dan progresif.
“Nilai ihsan hanya akan terserlah apabila negara-negara Islam benar-benar komited terhadap reformasi institusi dan kemajuan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerangka Ekonomi MADANI merupakan penzahiran nilai-nilai luhur iaitu satu ikhtiar untuk mengangkat darjat dan harkat rakyat serta negara.
“Untuk muncul sebagai alternatif yang benar-benar berdaya saing, sistem ekonomi Islam harus tampil bukan sekadar berbeza, bahkan lebih adil, mampan dan berperikemanusiaan berbanding sistem konvensional yang kerap menguntungkan segelintir dan mengabaikan nilai ihsan serta kesaksamaan,” ujarnya.
Meneroka strategi
Terdahulu, Perdana Menteri meluncurkan Pusat Kecemerlangan Kajian dan Inovasi dalam Ekonomi Islam (i-RISE) di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia.
Menerusi amanatnya petang semalam itu, Anwar berkata, antara kekurangan ketara dalam kajian dan pelaksanaan kewangan Islam ialah kegagalan memberi perhatian kepada tadbir urus yang baik dan dasar makroekonomi yang menyokong pertumbuhan serta pembangunan mampan.
Dalam masa sama, beliau juga menegaskan, Malaysia tidak boleh berpuas hati sekadar menjadi pusat pensijilan halal, sebaliknya perlu meneroka strategi lebih menyeluruh untuk menerajui industri halal global yang dianggarkan mencecah nilai trilion dolar.
Jekasnya, Malaysia perlu melangkah lebih jauh dengan membina kerjasama strategik dan usaha sama rentas sempadan, termasuk membabitkan syarikat Malaysia dalam projek halal di negara luar seperti China, Vietnam dan Poland.
BACA JUGA Raja dan rakyat berpisah tiada